fbpx

UPSI terima tiga geran kaji warisan Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Fakulti Bahasa dan Komunikasi memeterai kerjasama dengan Muzium Pahang bagi penyelidikan demi memajukan ilmu dalam bidang berkaitan warisan sejarah dan tamadun negara.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, kerjasama itu dilihat bertepatan dengan hasrat universiti pendidikan itu bagi mendukung cita-cita memartabatkan warisan dan sejarah tanahair melalui kepakaran sedia ada.

“Sebagai universiti pendidikan yang hampir seabad penubuhannya, UPSI sentiasa cakna dalam menyokong usaha memartabatkan warisan sejarah melalui hasrat menjadi pusat pengurusan penyelidikan, perundingan, inovasi dan pengkomersilan yang cemerlang.

“Justeru, kita menyokong usaha Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Al Sultan Abdullah (Al-Asar) dengan menggembeleng seluruh bidang kepakaran berkaitan demi menyokong kelestarian warisan sejarah negara,” ujarnya.

Terdahulu, beliau yang mewakili UPSI menandatangani memorandum persefahaman bersama Perbadanan Muzium Negeri Pahang di Hotel Hyatt Regency, Teluk Cempedak, Kuantan, Pahang kelmarin.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar berkenan berangkat menyaksikan penyerahan dokumen perjanjian tersebut.

Menerusi kerjasama ini, UPSI akan menjalankan tiga kajian iaitu Geran Pendigitalan Korpus Lisan Negeri Pahang yang melibatkan dialek lisan masyarakat negeri dan Orang Asli negeri Pahang oleh Prof. Madya Dr. Mazura @ Mastura Muhammad.

Profesor Madya Dr. Muhammad Anas Al Muhsin pula akan membuat penyelidikan tentang Kitab Ilmu Fardu Ain oleh Syeikh Muhammad Syiabuddin (Tuan Teh) yang akan dibukukan bagi rujukan seluruh masjid dan surau negeri Pahang.

UPSI menerusi Dr. Muhammad Fadzllah Zaini pula akan menjalankan penyelidikan Pendidikan Pelancongan Muzium yang melibatkan tinjauan di seluruh muzium negeri dan negara.

Selain UPSI, Perbadanan Muzium Negeri Pahang turut menandatangani memorandum persefahaman dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Putra Malaysia, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah dan Kolej Universiti Yayasan Pahang. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI