SEBERANG PERAI – Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Mohd. Fareez Omar yang cedera dalam nahas pesawat Hawk 108 pada Rabu lalu dipercayai masih belum mengetahui rakan setugasnya sudah meninggal dunia dalam tragedi tersebut.
Bapa Mohd. Fareez, Omar Deros, 62, berkata, dia langsung tidak menyentuh mengenai perkara itu semasa berpeluang melawat anaknya di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini kelmarin.
Menurut bekas pesara TUDM berpangkat Mejar itu, dia percaya bahawa berita menyedihkan tersebut masih belum sampai ke pengetahuan anaknya.
“Dia (Mohd. Fareez) masih sakit, mungkin kami akan menunggu sehingga dia beransur baik untuk memaklumkan mengenai perkara itu kerana bimbang kesihatannya akan terganggu,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Mengulas lanjut, Omar memberitahu, anaknya yang sudah berkahwin juga sudah boleh bercakap dan makan.
Berita berkaitan: Seorang terbunuh, pesawat Hawk 108 TUDM terhempas
“Dia sebut emak abah, selain itu dia juga sudah boleh makan dan juga minum sebelum pembedahan dilakukan.
“Dia juga ada mengadu sakit belakang, namun tidak teruk,” katanya.
Omar juga bersyukur kerana anaknya telah selamat menjalani satu pembedahan akibat kecederaan pada pinggang dan tulang belakang yang dialami Mohd. Fareez pada malam kelmarin.
“Pihak TUDM memaklumkan anak saya kini ditempatkan di unit rawatan rapi HSJ untuk pemantauan serta pemerhatian rapi.
Berita berkaitan: Pesawat pejuang Hawk terbabit kemalangan di Butterworth
“Tengah hari semalam (kelmarin) saya berpeluang bertemu dengannya di wad dan ketika itu dia berada dalam keadaan stabil, namun masih lemah,” kata warga emas itu.
Dalam kejadian pada pukul 10.07 malam kelmarin, Kapten Mohamad Affendi meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Mohd. Fareez, 33, cedera selepas pesawat Hawk 108 yang dikendalikan mereka terhempas di landasan di Pangkalan Udara Butterworth.
Kedua-dua mangsa dikatakan sempat keluar daripada pesawat dengan kerusi lenting ketika insiden tersebut berlaku.
Jenazah Mohamad Affendi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Muadzam Shah, Pahang malam kelmarin.