fbpx

TUDM jaga kebajikan perubatan Mejar Mohd. Fareez

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pesawat Hawk milik TUDM terhempas di Pangkalan Udara Butterworth, baru-baru ini. - Gambar hiasan

SEBERANG PERAI – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan memastikan rawatan terhadap Mejar Mohd. Fareez Omar, 33, yang terbabit nahas pesawat Hawk 108 yang terhempas di Pangkalan Udara Butterworth di sini malam Selasa lalu diuruskan sebaiknya.

Markas Tentera Udara dalam satu kenyataan hari ini berkata, Mohd. Fareez yang mengalami kecederaan tulang belakang telah selamat menjalani pembedahan kira-kira pukul 7 pagi kelmarin di Hospital Seberang Jaya di sini dan telah sedar.

Mohd. Fareez

“Bagi rancangan rawatan selanjutnya, TUDM akan terus memastikan urusan rawatan perubatan diuruskan dengan sebaik-baiknya.

“Urusan kebajikan isteri beliau, Siti Hajar Abdullah serta dua anak berusia 3 tahun dan 5 bulan dikoordinasi oleh Pangkalan Udara Butterworth,” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan tersebut menambah,TUDM telah menubuhkan Lembaga Siasatan untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden kemalangan terbabit.

“TUDM juga meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan berita yang tidak sahih kebenarannya serta turut sama mendoakan kesembuhan kepada Mejar Mohd. Fareez,” katanya.

Terdahulu, akhbar melaporkan sebuah pesawat Hawk 108 yang menjalani latihan penerbangan terhempas di Pangkalan Udara Butterworth di sini pada pukul 10.07 malam Selasa lalu.

Kejadian itu mengorbankan Kapten Affendi Bustamy, 31, yang meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Mohd. Fareez hanya mengalami kecederaan.

Kedua-dua mangsa dilaporkan sempat keluar dari pesawat dengan kerusi lenting dalam insiden itu.

Jenazah Mohamad Affendi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Muadzam Shah, Pahang malam kelmarin. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI