JERANTUT – Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PKPDNHEP) Jerantut telah mengeluarkan sebanyak 76 kompaun bernilai RM20,400 melibatkan pelbagai kesalahan di bawah akta perdagangan pada tahun ini.
Ketua Penguatkuasa PKPDNHEP Jerantut, Abdul Mubin Ahmad berkata, kompaun berkenaan dikeluarkan dalam operasi pemantuan dan pemeriksaan ke atas pasar raya dan kedai runcit di kawasan bandar, kampung dan Felda di daerah ini dan Lipis.
“Kompaun melibatkan sebanyak 48 kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan, Akta Timbang dan Sukat (24), Akta Perihal Dagangan (1), Akta Kawalan Bekalan (2) dan satu kes melibatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Akta 342.
“Kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan dan Akta Timbang Sukat mencatatkan jumlah yang paling banyak apabila peniaga gagal mempamerkan harga barangan termasuk minyak masak peket serta menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan,”katanya di sini hari ini.
Menurut Abdul Mubin, PKPDNHEP akan meneruskan pemantauan dan pemeriksaan ke atas pasar raya dan kedai runcit secara berterusan dan bertindak segera terhadap aduan yang diterima daripada pengguna.
Justeru, beliau berharap semua pengusaha premis dan peniaga kedai runcit mematuhi peraturan ditetapkan sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan termasuk didakwa di mahkamah atau dikenakan kompaun.
Sementara itu mengulas mengenai bekalan minyak masak peket dan botol di daerah Jerantut dan Lipis, Abdul Mubin menjelaskan berdasarkan pemantauan bekalan berkenaan mencukupi dan dijual dengan harga ditetapkan kerajaan.
“Pengguna dinasihatkan supaya lebih berwaspada dan bijak membuat pilihan ketika berbelanja dengan memilih barang keperluan dapur.
“Aduan atau sebarang pertanyaan mengenai bekalan keperluan asas, harga barangan dan perkhidmatan berkaitan boleh dibuat terus kepada pejabat PKPDNHEP Jerantut di talian 09-2601374,” ujarnya. – K! ONLINE