JERANTUT – Penduduk Kampung Pagi dekat Hulu Tembeling di sini resah dan ‘berang’ apabila lori balak yang melalui jalan raya di kampung berkenaan dipandu dalam keadaan berbahaya termasuklah di hadapan kawasan sekolah yang boleh mengundang risiko kemalangan.
Berdasarkan satu rakaman video berdurasi 13 saat memaparkan sebuah lori balak tanpa muatan yang dalam perjalanan ke arah Hulu Tembeling dipandu laju memotong sebuah lori dan menuruni bukit di hadapan sekolah.
Difahamkan semasa kejadian kira-kira pukul 7 pagi berkenaan ramai ibu bapa dan murid-murid yang berada di kawasan berkenaan menuju ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pagi di sini.
Seorang penduduk Kampung Pagi, Amirul Naim Mohamad,27, berkata, lori balak yang sering berulang alik di kawasan berkenaan dan dipandu dengan bahaya menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk kampung.
Katanya, ia dibimbangi boleh menyebabkan risiko kemalangan khususnya kepada murid-murid sekolah dan ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah serta penduduk kampung yang keluar untuk bekerja pada awal pagi.
“Sampai bila isu lori balak laju dalam kawasan kampung ini hendak selesai, penduduk Lembah Tembeling sentiasa dalam bahaya kerana lori dipandu laju memotong sesuka hati dan ‘makan jalan’ dekat selekoh.
“Kepada pihak berwajib tolonglah ambil tindakan segera, jangan sampai berlaku kemalangan baru hendak sibuk ambil tindakan,”katanya di sini, hari ini.
Menurut Amirul Naim dia berharap pihak berwajib kerap memantau serta melakukan operasi bagi menjamin keselamatan penduduk dan kanak-kanak sekolah.
Dalam pada itu Seorang penggiat ekopelancongan, Camry Al Yahya Basri berkata, aktiviti lori balak keluar masuk ke kawasan Hulu Tembeling melalui jalan raya Kampung Tuit ke memasuki Kampung Pagi sehingga ke Kampung Kuala Sat sudah lama berlaku.
“Senario ini bukan sahaja membahayakan penduduk kawasan ini tetapi menyebabkan kerosakan jalan raya antara Kampung Pagi hingga ke Kuala Sat dan menimbulkan ketidakselesaan pelancong yang datang.
“Penduduk dan penggiat ekopelancongan Hulu Tembeling berharap kegiatan pembalakan perlu dihentikan segera untuk mengelakkan kerosakan jaan raya berulang di samping jaminan kemampanan biodiversiti dan kehijauan alam sekitar untuk pembangunan sektor ekopelancongan,”ujarnya. – K! ONLINE