IPOH – Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak perlu memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan sukan di negeri tersebut.
Gesaan itu dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed.
Menurutnya, sebagai pemegang taruh terbesar dalam bidang sukan, MSN tidak boleh mengambil sikap menunggu pihak lain datang untuk mengadu hal sbaliknya datang menawarkan kerjasama.
“Mereka selaku pemegang taruh utama sukan negeri harus peka dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan jersi pasukan hoki Anderson Thunderbolts untuk Liga Hoki Remaja Kebangsaan 2021 di Kelab Andersonian di sini
hari ini.
Khairul Shahril memberi contoh, MSN perlu menjadikan sekolah-sekolah cemerlang sukan seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson sebagai rakan strategik.
“Maksudnya, jangan tunggu SMK Anderson datang baru mereka nak bantu, saya minta supaya mereka sendiri datang ke sini untuk tawarkan apa yang perlu kerana apa yang berlaku di Anderson ini adalah untuk negeri juga,” ujarnya.
Beliau mengucapkan tahniah kepada SMK Anderson kerana berjaya mewujudkan perkongsian bijak dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang telah membantu pembangunan sukan hoki sejak tahun 2013.
Khairul Shahril berkata, pihaknya bersedia menimbangkan cadangan untuk menjadikan SMK Anderson sebagai pusat latihan kecemerlangan untuk sukan hoki, bola sepak dan kriket.
Sementara itu, Sharuddin berkata, TNB menyalurkan bantuan hampir RM200,000 setahun bagi membangunkan sukan hoki di SMK Anderson yang merupakan antara lima sekolah yang dipilih di seluruh negara.
Menurutnya, itu adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB untuk pembangunan sukan di seluruh negara. – K! ONLINE