fbpx

Lima penyokong KL City ‘terjah’ padang ditahan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video tular yang memaparkan gelagat sebahagian daripada penyokong yang melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak polis.

KUALA LUMPUR – Keterujaan sekumpulan individu meraikan kemenangan pasukan KL City FC ke atas Selangor semalam sehingga sanggup memanjat pagar dan masuk ke dalam kawasan padang bola akhirnya membawa padah apabila lima daripada mereka ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.10 malam sewaktu perlawanan suku akhir Piala Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di sini.

“Perlawanan dengan keputusan 1-0 dimenangi oleh KL City FC seterusnya melayakkan pasukan itu ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia. Susulan kemenangan itu, sekumpulan penyokong di kawasan penonton KL City FC telah bertindak memanjat pagar.

“Mereka telah memanjat pagar setinggi tiga meter lalu melompat masuk ke dalam kawasan padang bola sepak dan menyerbu ke arah pemain KL City FC,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, anggota polis yang bertugas di lokasi telah berjaya menghalang serta menyuraikan para penyokong tersebut dan telah menahan lima penyokong yang berada di kawasan padang bola sepak untuk tindakan selanjutnya.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada keterujaan penyokong susulan kemenangan pasukan mereka melayakkan diri ke pusingan separuh akhir setelah 30 tahun.

“Ujian air kencing mendapati kesemua mereka adalah negatif dadah dan kelima-lima mereka dibebaskan setelah dibuat pemeriksaan dan diambil keterangan,” ujarnya.

Tambah Muhammad Idzam, pihak polis menyerahkan kes tersebut kepada pihak stadium, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tindakan selanjutnya. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI