fbpx

Lelaki ditangkap culik isteri sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
S. Vijaya.

KLANG – Tindakan pantas polis berjaya menyelamatkan seorang remaja perempuan warga Indonesia yang diculik suaminya sendiri di tepi jalan Bukit Kapar sebelum dibawa ke sebuah rumah di Felda Sungai Trolak, Perak, di sini kelmarin.

Mangsa berusia 17 tahun itu berjaya diselamatkan pukul 10 malam iaitu hampir 24 jam selepas diculik pukul 10.30 malam, Rabu lalu.

Selain itu, polis turut menahan suspek yang juga warga Indonesia berusia 20 an di rumah tersebut.

Jarak lokasi antara tempat diculik dan mangsa ditemui adalah kira-kira 117 kilometer (km).

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya terlebih dahulu menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan memaklumkan terdengar jeritan seorang perempuan ketika berada di rumahnya.

Katanya, perempuan tersebut yang ketika kejadian sedang menunggang motosikal disyaki telah dilarikan menggunakan sebuah kereta jenis Proton Satria.

“Bertindak atas maklumat sepasukan anggota polis dari cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah ini telah pergi ke Felda Sungai Trolak, Perak dan menahan suspek.

“Semasa tangkapan dilakukan mangsa turut berada bersama suspek dan hasil siasatan awal mendapati pasangan berkenaan tidak mendaftarkan perkahwinan mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Jelas beliau, punca kejadian kerana perselisihan faham antara mangsa dan suspek berkenaan hal rumah tangga.

Kosmo! difahamkan mangsa sering dipukul oleh suspek sepanjang tempoh enam bulan perkahwinan mereka.

Terdahulu, kejadian tersebut tular di laman sosial dengan memaparkan gambar motosikal dinaiki suspek yang berada di tepi jalan. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI