LONDON – Bekas jurulatih Chelsea, Frank Lampard dilaporkan sedang mengintai peluang untuk menjadi pengurus baharu Leicester City sekiranya pengendali semasa, Brendan Rodgers mengambil keputusan untuk ‘angkat kaki’ dalam masa terdekat.
Sebagai rekod, Lampard sebelum ini telah berusaha untuk melobi ‘jawatan kosong’ yang ada di Crystal Palace, Newcastle United dan Aston Villa tetapi gagal menjadi pilihan akhir.
Hanya ada satu pasukan yang difahamkan menawarkan kontrak rasmi kepada Lampard baru-baru ini iaitu Norwich City tetapi pengendali berusia 43 tahun itu ‘jual mahal’ kerana tidak yakin dengan projek jangka panjang pasukan tercorot EPL itu.
Menurut sumber Leicester, Lampard menjadi calon pilihan pengurusan tertinggi The Foxes jika Rodgers mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dan berhijrah ke kelab idamannya, Manchester United.
Buat masa ini Rodgers sedang memantau situasi The Red Devils yang dijangka memecat pengendali, Ole Gunnar Solskjaer jika kemelut prestasi pasukan gagal diperbaiki apabila saingan EPL kembali bersambung minggu ini.
Lampard sebelum ini memiliki pengalaman mengendalikan kelab Liga Kejuaraan, Derby County sebelum prestasi cemerlangnya menarik minat Chelsea untuk mendapatkan khidmatnya pada musim 2019 tetapi dipecat pada Januari lalu.
Bekas pemain tengah The Blues itu dianggap sebagai salah seorang pemain terbaik EPL sepanjang zaman apabila berjaya meledak 177 gol dalam 602 penampilan sebelum bersara pada musim 2016. – AGENSI