KUALA LUMPUR – Tindakan kurang cerdik segelintir penyokong yang menyerbu masuk ke padang menyebabkan Kuala Lumpur City terpaksa bermain dalam stadium kosong di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada aksi pertama separuh akhir Piala Malaysia bertemu Melaka United, Isnin ini.
Keputusan itu dibuat oleh Malaysian Football League (MFL) selepas Kuala Lumpur City selaku tuan melanggar peraturan MFL berkaitan peraturan Prosedur Operasi Standard (SOP) Penonton Perlawanan TM Piala Malaysia dan Manual Liga Malaysia 2021.
Pasukan tuan rumah didapati bersalah melanggar peraturan SOP Penonton Perlawanan Piala Malaysia dengan dibaca Bahagian 3 (v) SOP di mana penonton atau penyokong telah dikehendaki mengamalkan penjarakan fizikal.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam mengesahkan bahawa MFL telah meminta pihak Kuala Lumpur City yang bertanggungjawab sebagai pasukan tuan rumah mengemukakan surat tunjuk sebab berhubung insiden pencerobohan penyokong masuk ke kawasan padang.
“Pihak MFL telah menerima surat balas daripada Kuala Lumpur City FC pada hari ini di mana Ahli Lembaga Pengarah MFL bersepakat memutuskan Kuala Lumpur City FC dikenakan hukuman perlawanan tanpa penonton untuk perlawanan separuh akhir pertama TM Piala Malaysia 2021 yang akan berlangsung pada 22 November ini.
“Kuala Lumpur City telah bersetuju serta mengambil keputusan untuk tidak menjual tiket bagi aksi separuh akhir Piala Malaysia 2021,” katanya.
Semalam, sejurus tamat perlawanan menentang Selangor yang berpihak kepada Kuala Lumpur City, puluhan penyokong tuan rumah bertindak merempuh masuk ke kawasan padang bagi meraikan kejayaan pasukan itu.
Pada aksi tersebut, skuad Warga Kota kendalian Bojan Hodak mempamerkan rentak konsisten untuk melakar kemenangan 1-0 ke atas seteru tradisi, Selangor sekali gus meraih keputusan 3-0 secara agregat. -K! ONLINE