IPOH – Kebarangkalian risiko peningkatan kes jangkitan Covid-19 di Perak boleh berlaku jika orang ramai tidak mengamalkan norma baharu dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Justeru, orang ramai tidak boleh merasa bebas dan selesa walaupun Perak telah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Sains dan Alam Sekitar negeri Perak, Mohd. Akmal Kamarudin memberitahu, begitu juga penjagaan kesihatan kendiri penting dititikberatkan.
“Suka saya menyarankan agar, masyarakat mempraktiskan amalan kesihatan awam kendiri TRIIS (Test, Report,Inform, Isolate, Seek) seperti yang disarankan oleh Majlis Keselamatan Negara.
“Paling utama ialah kita mengamalkan gaya hidup sihat ini termasuk dengan menjaga pemakanan, bersenam dan sering melakukan pemeriksaan kesihatan,” ujarnya menerusi hantaran pada laman Facebook rasmi beliau.
Semalam Perak mencatatkan 304 kes dengan 92 peratus adalah pesakit kategori dua iaitu gejala ringan dan lima peratus kategori satu.
Dalam pada itu katanya, kerajaan kini dalam usaha untuk meningkatkan pemberian dos penggalak bagi memastikan tempoh perlindungan yang optima dapat dicapai.
Ujar Mohd. Akmal, sehingga Rabu lalu seramai 70,775 penerima telah diberi suntikan dos penggalak di Perak.
“Untuk penerima yang layak akan mendapat pemberitahuan melalui aplikasi MySejahtera.
“Manakala yang tidak menggunakan aplikasi Mysejahtera akan menerima panggilan melalui sistem khidmat pesanan ringkas atau panggilan telefon dari Pusat Vaksinasi,” katanya.
Bagi pendaftaran secara ‘walk-in’ ke fasiliti kesihatan swasta pula ia akan bermula Isnin ini. – K! ONLINE