fbpx

Hantaran RM100,000 Haqiem Rusli kini suami Anis Sofea

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DENGAN dua kali lafaz, Haqiem dan Sofea selamat bergelar suami isteri di sebuah masjid di Cyberjaya, sebentar tadi. Foto ihsan Instagram @Aqoimran

PETALING JAYA – Selepas dua kali lafaz, penyanyi dan komposer popular Haqiem Rusli, 23, akhirnya sah bergelar suami kepada Wan Anis Sofea Wan Zamzuri, 19, dalam sebuah majlis di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah Cyberjaya, Cyberjaya sebentar tadi.

Pasangan itu disatukan di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah yang lebih dikenali sebagai Masjid Cyberjaya sekitar pukul 3. 40 petang hari ini.

Pasangan yang menjalinkan cinta sejak dua tahun lalu itu dinikahkan Ketua Pegawai Agama Daerah Sepang, Zamzuri Ruslan sambil disaksikan bapa pengantin perempuan, Wan Zamzuri Wan Muhammad.

Majlis yang berlangsung sederhana tersebut menyaksikan Haqiem atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300 dan wang hantaran berjumlah RM100,000.

Paling mencuri perhatian semestinya cincin perkahwinan bertatahkan berlian Hearts of Fire iaitu berlian terbaik dunia yang diserahkan Haqiem buat isterinya.

Pada majlis sama, Haqiem yang kelihatan kacak mengenakan persalinan berwarna kelabu rekaan Razman Razmi turut menyerahkan lima dulang hantaran berbalas jumlah sama kepada pengantin perempuan.

“Saat yang saya tunggu selama ini untuk menghalalkan hubungan kami akhirnya terpateri.

“Selepas mengumumkan berita nak menamatkan zaman bujang beberapa bulan lalu, saya bersyukur kerana keinginan itu tidak hanya direstui keluarga, namun penyokong saya termasuk kelab peminat Qiemilio.

“Biarpun akur, detik bersejarah ini berlangsung pada musim pandemik Covid-19 yang serba-serbinya terbatas, saya harap fasa baru ini akan dirahmati.

“Saya berjanji akan menjalankan tanggungjawab ini sebaik mungkin,” katanya usai majlis nikah selesai.

Bercerita mengenai detik perkenalan mereka, semuanya bermula selepas isterinya ketika itu mencari duta untuk mempromosikan perniagaan restoran miliknya di Setapak.

“Kalau nak tahu restoran Santhai Village yang saya usahakan selama ini bersama dengan dia lah (isteri). Awalnya dia memang nak tawarkan saya sebagai duta restoran makanan steamboat itu.

“Tapi saya fikir kenapa tidak menjadi rakan kongsi juga. Sambil mempromosikannya, ada juga bahagian saya. Akhirnya persetujuan dicapai, kami jadi rakan kongsi. Sekarang sudah kongsi kehidupan bersama pula.

“Jadi dipendekkan cerita, kerap berjumpa dan tanpa diduga juga hati mula terpaut sayang,” katanya.

Menyifatkan Sofea sebagai wanita idaman, pelantun lagu Tergantung Sepi itu menjelaskan isterinya itu merupakan wanita sempurna buat dirinya.

“Dia wanita yang sempurna buat saya. Sangat senang dengan sikap, budi pekertinya yang lemah lembut dan keperibadiannya telah membuat saya jatuh cinta serta terpaut untuk memilikinya,” kongsinya.

Sementara itu, menurut Anis Sofea pula, hatinya terpikat selepas melihat budi pekerti yang tinggi dimiliki Haqiem.

“Haqiem seorang lelaki yang penyayang, prihatin, bertanggungjawab, bercita-cita tinggi dan sangat berbudi bahasa.

“Itu semua yang membuatkan saya jatuh hati kepadanya,” tutur gadis kelahiran Kelantan itu.

Untuk rekod, Haqiem sebelum ini mengumumkan tarikh perkahwinannya secara rasmi selepas memenangi trofi Penyanyi Lelaki Popular pada malam Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-34 Sabtu lalu.

Pada Jun lalu, Haqiem membuat kejutan selepas mengaku akan mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI