PENYANYI rap baharu, Farhan Alias atau nama pentasnya, Fhan percaya semua penyanyi mempunyai potensi bakat tersendiri. Tinggal lagi, pemain industri hendaklah memberikan sepenuh kepercayaan dan peluang untuk penyanyi baharu mengasah bakat.
“Secara peribadinya, untuk saya bekerjasama dengan komposer atau pun penulis lirik terkenal, apa yang penting mereka percayakan potensi seseorang penyanyi berkenaan.
“Bukan memandang rendah terhadap pengalaman kita. Saya sangat sensitif dalam bab ini.
“Kalau mereka rasa saya tiada potensi, mungkin lupakan saja niat untuk bekerjasama. Saya percaya setiap manusia ada potensi masing-masing,” jelasnya.
Mengulas mengenai strategi pemasaran yang menyasarkan karya menembusi pasaran antarabangsa, Fhan mengeluarkan lagu dwibahasa berjudul Walkaway dan Nitro sebagai langkah untuk menarik pendengar luar Malaysia.
“Proses awal untuk bekerjasama dengan penyanyi luar negara ini saya mahu fokus trending terlebih dahulu lagu sedia ada.
“Bila mana sudah ada peminat dan pendengar dari negara serantau, saya percaya penyanyi di sana pasti menyedari kewujudan saya.
“Disebabkan itulah saya mengeluarkan single dwibahasa dan sebuah lagu Inggeris penuh supaya dapat capai sasaran ‘crowd’ dari luar negara,” kongsinya yang menyasarkan lagu berkenaan dapat memasuki pasaran Indonesia, Singapura dan Filipina.
Lagu Walk Away merupakan hasil ciptaan komposer Mingaling, Madebyartin, Imgkay, manakala lirik ditulis oleh Amir Hasan.
Yang penting mesej
Bercakap tentang populariti bagi penyanyi rap baharu sepertinya, Fhan lebih ambil peduli tentang penyampaian mesej lagu.
“Apa yang penting dapat sampaikan mesej lagu kepada semua pendengar.
“Dua single terbaharu berkenaan berkisarkan perjalanan dan liku-liku seseorang dalam industri atau pun bisnes yang saya ceburi.
“Selain itu saya selitkan pelbagai cabaran dan ragam manusia yang pernah saya jumpa. Konklusinya biar kita sendiri berjuang untuk sampai ke puncak,” ujarnya.
Menyedari pasaran muzik tempatan pendengarnya lebih gemarkan lagu-lagu patah hati, Fhan akan mempertimbangkan untuk menerokai tema sedemikian.
“Ya saya sangat berminat sebab saya rasa itu adalah tema yang senang untuk pendengar ikuti atau layan.
“Sejujurnya lagu saya pun ada patah hati iaitu Walk Away,” katanya tertawa kecil.
Sebagai informasi Fhan mula aktif dalam dunia muzik sejak tahun lalu dengan kemunculan dua single berjudul Terbang Tinggi dan Bertahan serta Terang sekitar pertengahan tahun ini.