SEREMBAN – Bimbang dengan kesan akibat pencampuran vaksin merupakan alasan 60 peratus penerima dos penggalak vaksin Covid-19 tidak hadir pada peringkat awal pemberiannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar CMH, Henderic Koo Teck Leng berkata, alasan itu sering diterima pihaknya terutama dalam kalangan penerima warga emas dan menurutnya ia berpunca ekoran kurang maklumat mengenainya yang diterima oleh orang ramai.
“Kurang maklumat mengenai dos penggalak ini antara faktor mereka agak kurang faham dan khuatir untuk mengambil dos penggalak ini. Bagaimanapun keadaan tersebut mula berubah dari hari ke hari.
“Sehingga kini pihak kami telah memberikan kira-kira 1,900 dos penggalak kepada petugas hospital dan warga emas. Saya berharap orang ramai tidak teragak-agak untuk mengambil dos penggalak ini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Teck Leng, kebanyakan penerima juga didapati mengambil sikap tunggu dan lihat bagi menilai sama ada dos penggalak ini berkesan atau tidak.
“Bagi penerima terutama yang berusia 40 tahun ke atas saya harap mereka tidak teragak-agak menerima dos penggalak ini.
“Dua dos lengkap sudah mencukupi, tetapi dalam tempoh tertentu, tindak balas imun mula menurun jadi dos penggalak ini bagi memastikan penerima vaksin mendapat tempoh perlindungan paling optimum,” katanya.
Sementara itu katanya, Hospital Pakar CNH memberikan sebanyak 250 dos penggalak vaksin Covid-19 sehari kepada penerimanya. – K! ONLINE