fbpx

52 anggota ATM mula diami Rumah Keluarga Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

BUKIT JALIL – Seramai 52 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keluarga mula menjalani pemindahan secara berperingkat ke Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Taman Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Bukit Jalil di sini semalam.

Program RKMAT itu telah dirasmikan pada 3 November lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membabitkan perpindahan anggota secara berperingkat bermula semalam sehingga 10 Disember depan.

Staff Sarjan Noor Azzila Hashim (tengah) hadir untuk melihat unit kediamannya di Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Taman Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Bukit Jalil.

52 anggota ATM mula diami Rumah Keluarga Malaysia

Hari pertama rancangan perpindahan telah menyaksikan seramai 52 penghuni telah berjaya dipindah masuk ke Blok 2 RKMAT-TD.

Sebanyak 2,000 unit adalah inisiatif perumahan dirancang Kementerian Pertahanan dengan kerjasama LTAT yang merangkumi empat blok pangsapuri 38 tingkat dengan keluasan binaan 850 kaki persegi.

Unit kediaman ini turut dilengkapi pelbagai kemudahan seperti perabot, perkakas elektrik, dewan serba guna, gimnasium, surau dan beberapa unit kedai.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, RKMAT merupakan antara agenda utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Bajet 2022 yang berkait rapat dengan aspirasi Keluarga Malaysia.

“Melalui aspirasi ini, kesejahteraan hidup anggota ATM menjadi keutamaan kerana jasa dan pengorbanan mereka kepada tanah air begitu besar,” jelasnya.

Sementara Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Kementerian Pertahanan melalui Blueprint Perumahan 2.0 sedang melaksanakan perancangan untuk membina 28,033 unit RKMAT di seluruh negara dari tahun 2021 sehingga tahun 2030.

“Jumlah ini termasuk 8,852 unit RKMAT seperti diumumkan Perdana Menteri di bawah RMK12 untuk warga ATM. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,509 unit dalam proses pembinaan sementara 7,343 unit lagi dalam proses perolehan.

“2,000 unit RKMAT yang sedia didiami di Bukit Jalil ini dijangka dapat memenuhi kira-kira 85 peratus keperluan perumahan anggota ATM di sekitar Lembah Klang,” ujarnya.

Sebahagian anggota ATM teruja melihat kemudahan yang terdapat di unit kediaman Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Taman Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Bukit Jalil.

Seorang penghuni RKMAT, Koperal Ahmad Husari Mohd. Salleh berkata, dia amat berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan kerana menjaga kebajikan anggota ATM.

“Sebelum ini saya menyewa di sebuah rumah di sekitar Bandar Tun Razak dengan kos sewa sebanyak RM1,200 sebulan. Sebaik sahaja saya dimaklumkan menjadi salah seorang penghuni RKMAT, saya amat bersyukur kerana dapat mengurangkan kos kehidupan.

“Rumah ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti perabot dan perkakas elektrik. Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kerana menitikberatkan kebajikan anggota ATM.

Sementara itu, Staf Sarjan Noor Azzila Hashim berkata, segala keperluan asas di RKMAT, Bukit Jalil ini telah disediakan dan keadaan rumah yang mempunyai tiga bilik tidur dan dua tandas itu juga amat selesa untuk didiami.

“Saya sebelum ini tinggal di rumah sewa di sekitar Jalan Klang Lama dengan kos sewa yang agak tinggi namun selepas diberitahu menjadi penghuni RKMAT, saya sangat gembira dan bersyukur.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada ATM, Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan kerana menyediakan kediaman yang selesa untuk didiami. Ia juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI