fbpx

Wayang Sakti, eksperimentasi wayang kulit sinematik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMENTASAN Wayang: Sakti akan berlangsung selama dua hari , iaitu pada 19 dan 20 November 2021, pukul 8.30 malam di Panggung Sari , Istana Budaya.

PETALING JAYA – Pernahkah khalayak menyaksikan sebuah persembahan wayang kulit konvensional? Jika jawapannya pernah, bagaimana pula dengan wayang kulit yang digabungkan dengan permainan animasi, multimedia dan ‘motion capture’?

Tertanya-tanya tentang bentuk dan konsepnya, persembahan penuh kreativiti wayang kulit Kelantan tersebut dapat disaksikan menerusi Wayang Sakti sentuhan Mohd Kamarulzaman Taib atau Che Kem yang akan dipentaskan di Istana Budaya bermula 19 November (malam esok) hingga 20 November ini.

Seni persembahan tradisional bersama suntikan pembaharuan berkonsepkan sinematik menerusi elemen teater menerusi Wayang Sakti tentunya bakal memberikan impak buat peminat seni khususnya generasi muda.

CHE KEM (kanan) yakin, penonton yang menyaksikan Wayang Sakti tidak akan kecewa dengan konsep persembahan wayang kulit eksperimental tersebut.

Che Kem berkata, Wayang Sakti menjadi naskah eksperimentasi berani yang membawa pembaharuan dalam persembahan wayang kulit tradisional bersama iringan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM).

“Persembahan yang diadakan pada Jumaat dan Sabtu itu nanti pastinya cukup istimewa dengan gabungan pelbagai elemen yang menghidupkan penceritaan namun tetap mengekalkan nilai estetik karya seni kebanggaan kita ini.

“Pementasan Wayang Sakti akan menggunakan konsep sinematik yang menggabungkan teknologi ‘virtual reality’ dan ‘motion capture’ bertujuan memberi impak luar biasa setanding dengan peredaran semasa,” katanya.

Dalam persembahan yang bermula pada pukul 8.30 malam itu, kata Che Kem, Mohd Suhaimi Ibrahim menggalas tanggungjawab sebagai Tok Dalang, Sakti Kenchana dan beberapa watak lain, manakala Zamzuriah Zahari membawa karektor Puteri Rakna Dewi.

Watak Jin Hitam Sangduja pula digalas Kamarul Baisah Hussin selain penampilan Tengku Iefizulasyrifie Putra selaku Kera Belira Indera, Rudy De Luna (Sakti Kenchana) serta dibantu penampilan Artis Budaya Istana Budaya.

WAYANG Sakti turut diiringi ensemble wayang kulit Kelantan dan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM), satu pembaharuan dalam persembahan wayang tradisional.

Wayang: Sakti berkisar penggembaraan Putera Sakti Kenchana dan Puteri Rakna Dewi di atas Jong Suluk menuju pulang ke negeri Petala Timur.

Sebelum berangkat, ayahandanya, Raja Besar berpesan supaya mereka berhati-hati apabila melalui kawasan Teluk Mati Angin Pulau Mati Anak.

Malangnya semasa jong menyusur ke perairan itu, Putera Sakti Kenchana beradu, seluruh jong telah dijampi oleh Jin Hitam Sangduja.

Puteri Rakna Dewi telah diculik jin dan dibawa ke Gua Singa Malim namun perbuatan jahat jin tersebut dapat dilihat Sang Kera Belira Indera.

Che Kem yakin mereka yang datang menonton “Wayang: Sakti” tidak akan pulang kecewa kerana ia berusaha memenuhi hasrat penonton terutama generasi muda.
“Diharapkan ‘Wayang: Sakti’ ditonton oleh generasi baru kerana pembikinan ini cuba mengisi penontonan hari ini.
“Ini adalah sebuah eksperimentasi tradisional yang perlu disahut oleh generasi muda dan khalayak baru untuk mendekati kesenian tradisional.
“Saya yakin siapa yang datang tidak akan kecewa,” katanya lagi.

Bagi yang ingin membuat tempahan, tiket pementasan yang bermula pada harga RM20 hingga RM80 boleh didapati di laman web rasmi Istana Budaya.

Selain Wayang Sakti, Istana Budaya juga akan mementaskan Gema Gangsa pada hujung minggu berikutnya iaitu 27 dan 28 November pada masa dan lokasi sama.

Program gabungan pemuzik OTM dan kumpulan Asuhan Seni Istana Budaya tersebut menampilkan konsep gamelan Melayu tradisional dan kontemporari dengan gubahan muzik baharu.

Tetamu jemputan untuk Gema Gangsa adalah tokoh gamelan, Wan Salmah Wan Sulaiman dan Hamzah Abd. Hamid, penyanyi terkemuka tanah air Ella, penggiat teater Naqiu dan Amirah Murshidah Nor Azman daripada kumpulan Asuhan Seni. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI