KOTA KINABALU – Seorang wanita dikenali sebagai Wawa didakwa di Mahkamah Majistret, hari ini atas pertuduhan mengaibkan seorang anggota polis di sekatan jalan raya (SJR) pada 1 jun lalu.
Tertuduh, Nur Jawaheer Ismail atau lebih dikenali sebagai Wawa, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie.
Wawa didakwa mengaibkan kehormatan Koperal Maslin Samih dengan menyebut perkataan ‘nasib kau ni lelaki, kalau kau perempuan sudah lama aku kasi telanjang kau, aku rungkup kau’.
Jika sabit kesalahan, Wawa yang didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan boleh dihukum maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah membenarkan wawa diikat jamin RM2,000 dengan dua penjamin tempatan bagi pertuduhan terbabit selain menetapkan sebutan semula kes pada 9 Disember depan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya DK Afiqah Alya dan Adibah Saiful, manakala tertuduh diwakili peguam Luke Ressa Balang.
Terdahulu, tular video wanita berkenaan memarahi dan memalukan seorang anggota polis lelaki di media sosial sehingga menerima pelbagai reaksi termasuklah kecaman pelayar laman sosial.
Wawa kemudiannya ditahan polis pada 17 Jun lalu sebelum direman selama dua hari bagi membantu siasatan lanjut.
Polis turut merampas pakaian yang dipakai wanita itu dalam kejadian berkenaan bersama telefon bimbit, kad pendaftaran kereta dan kunci kenderaan.-K! ONLINE