KLANG – Sebanyak 70 dewan awam dan sekolah di daerah ini diwartakan menjadi pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya berlaku banjir berskala besar mulai bulan depan susulan Monsun Timur Laut dan fenomena air pasang besar.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang, Mohd. Shahrizal Mohd. Salleh berkata, pelbagai agensi terlibat sudah bersiap siaga menghadapi kemungkinan banjir akibat taburan hujan tinggi.
Menurut beliau, pihaknya bersedia membuka PPS terutama di 11 kawasan utama yang dikenal pasti kekal berisiko banjir.
“Kawasan itu antaranya Kampung Tok Muda, Pulau Indah, Pandamaran, Pelabuhan Klang, Kampung Perepat, Telok Gong dan Pulau Ketam.
“Justeru, kita sudah mewartakan 70 dewan awam dan sekolah untuk dijadikan sebagai PPS jika berlaku banjir besar di Klang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan sebanyak 150 kawasan di sembilan buah daerah di Selangor dengan Klang khususnya melibatkan 26 lokaliti berisiko mengalami banjir dan banjir kilat sehingga Mac depan susulan musim Monsun Timur Laut. -K!ONLINE