JAKARTA – Seorang wanita yang tidak memakan pecal terpaksa akur apabila ia menjadi punca dia ditinggalkan teman lelakinya, lapor laman berita Suara.com.
Pecal merupakan sejenis makanan yang diperbuat daripada campuran beberapa jenis sayuran dan kuah kacang.
Wanita tersebut berkongsi kisah sedih itu menerusi satu hantaran video di akaun TikTok miliknya iaitu @ayyanayiyi.
“Saya ditinggalkan kerana enggan makan pecal,” kata wanita itu dalam video yang dimuat naik.
Katanya, bekas teman lelakinya sebelum ini meminta dia untuk menemani lelaki itu memakan menu nasi pecal.
Wanita itu bagaimanapun memberitahu lelaki tersebut bahawa dia tidak suka makan pecal. Namun, bekas teman lelakinya itu tetap berkeras mengajaknya makan.
Selepas ajakannya berterus-terusan ditolak, bekas teman lelakinya itu membuat keputusan untuk memutuskan hubungan mereka kerana menyifatkan wanita tersebut ‘tidak boleh diajak hidup susah’ akibat enggan makan pecal.
Netizen yang menonton video tersebut kemudian membanjiri ruangan komen dengan pelbagai pendapat.
“Makan pecal bermaksud boleh diajak hidup susah? Adakah pecal merupakan makanan orang susah?” soal seorang netizen.
“Saya tidak boleh terima apabila pecal disamakan dengan makanan orang susah,” komen netizen lain. – AGENSI