fbpx

UPAB selaraskan inisiatif, dasar dan agenda Bumiputera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri

PUTRAJAYA – Kerajaan akan menubuhkan Unit Pemerkasaan Agenda Bumiputera (UPAB) di setiap kementerian dan agensi Kerajaan bagi menyelaras semua inisiatif, dasar dan agenda Bumiputera seperti yang telah diputuskan di peringkat Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB).

Penubuhan UPAB merupakan antara perkara yang diputuskan pada mesyuarat MKB yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Menurut beliau, penubuhan UPAB sekali gus akan menambah baik tadbir urus serta penyampaian perkhidmatan mandat dan fungsi berkaitan Bumiputera.

“Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) selaku sekretariat MKB turut membentangkan persiapan pelancaran Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) yang dijadualkan berlangsung pada 6 Disember ini di Kuala Lumpur.

“Berdasarkan prinsip kesaksamaan peluang dan kesaksamaan keberhasilan, TPB2030 dibangunkan Teraju ini berlandaskan intipati dari Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), didukung oleh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang terangkum dalam konteks Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, agenda utama mesyuarat kali ini adalah untuk memuktamadkan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) yang merupakan hala tuju baharu ekonomi dan sosioekonomi Bumiputera bagi tempoh sedekad yang akan datang.

Katanya, turut dibincangkan ialah isu-isu berkenaan penglibatan Bumiputera dalam projek nasional berskala besar seperti 5G, Bank Digital, polisi perolehan oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta isu-isu berkaitan ekuiti Bumiputera yang masih rendah.

“Selain itu, mesyuarat turut membincangkan kadar peratusan pemilikan aset oleh Bumiputera, khususnya dalam pemilikan perumahan dan premis komersial,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga mengambil maklum bahawa golongan Bumiputera masih rendah dari segi pemilikan premis perniagaan di pusat beli belah berprestij dan lokasi-lokasi tumpuan pelancongan.

Katanya, walaupun ada di antara pusat beli-belah ini dimiliki oleh GLC, namun peniaga Bumiputera dilihat masih kurang berkemampuan mendapatkan ruang perniagaan di premis berkenaan kerana kadar sewa yang dikenakan terlalu tinggi selain faktor persaingan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI