PETALING JAYA – Tune Protect dan AirAsia melancarkan Covid Travel Pass sebagai kemudahan tambahan untuk pelancong penerbangan antarabangsa memenuhi syarat perlindungan insurans mandatori yang ditetapkan kerajaan.
Pelan tersebut kini tersedia untuk pelancong ke Langkawi dan pelbagai destinasi pelancongan di Thailand, sebelum bakal diperluaskan ke destinasi-destinasi lain.
Kemudahan berkenaan lengkap dengan perlindungan Covid-19 yang dipertingkatkan untuk memenuhi syarat kerajaan bagi pelancong antarabangsa yang datang ke Langkawi supaya mempunyai perlindungan insurans sebanyak AS$80,000 (RM334,120).
Mengulas mengenai kemudahan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tune Protect, Rohit Nambiar berkata, pelanggan boleh membeli Covid Travel Pass sewaktu membuat tempahan penerbangan AirAsia melalui platform tempahan penerbangan dengan sangat mudah.
“Kami teruja untuk kesemua tetamu AirAsia yang bakal bercuti. Pas ini akan memastikan pelancong lebih bersedia dan dilindungi sepanjang percutian,” jelasnya dalam satu kenyataan.