PETALING JAYA – “Harga rawatan sama macam sebiji Perodua Axia”.
Itu respon pengguna media sosial apabila tular gambar sekeping resit memaparkan harga rawatan perubatan Islam berjumlah RM32,800.
Menerusi maklumat yang tertera di dalam gambar yang tular di Facebook itu, pesakit tersebut telah pergi ke pusat perubatan Islam itu bagi mendapatkan rawatan imbasan penyakit.
Di dalam resit itu juga, turut terdapat maklumat rawatan yang diterima oleh pesakit tersebut meliputi rawatan bagi penyakit berkaitan ilmu hitam iaitu santau patung berjasad serta mandian sunnah tutup ubat masing-masing bernilai RM2,600 dan RM900.
Paling mengejutkan, pesakit itu juga dilihat menghabiskan ribuan ringgit bagi rawatan kesihatan seperti masalah urat saraf, rahim senget, buah pinggang bengkak dan kencing manis.
Difahamkan, resit tersebut merupakan resit perubatan yang dibuat pada tahun 2016.
Rata-rata pengguna media sosial menyifatkan kos rawatan yang dikenakan kepada pesakit itu tidak masuk akal selain mencadangkan agar orang ramai mendapatkan rawatan kesihatan di klinik atau hospital kerajaan sahaja.
“Bermodalkan ayat suci, dapat rantai tangan emas satu, dapat duit. Padahal ilmu itu dia dapat dalam kalam suci Allah, lepas itu jual dalam bentuk perubatan islam,” kata Mazliana.
“Pernah dulu ayah saya nak berhabis duit untuk rawatan di pusat perubatan Islam sedangkan masalah kesihatan boleh dirujuk di klinik. Kami semua sepakat tak setuju, bawa ke klinik sahaja. Alhamdulillah sampai sekarang sihat,” kata Rahman.
“Kalau penyakit santau tu faham lah pergi ke pusat perubatan Islam. Lain-lain masalah kesihatan yang kencing manis semua, pergi kliniklah. Sanggup habis beribu macam harga Axia! Buat apa hospital di Malaysia ini ramai pakar tapi tak manfaatkan,” kata Kimie. – K! ONLINE