fbpx

Teluk Senangin dicemari 250kg sampah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar tular dalam media sosial menunjukkan kawasan pantai Teluk Senangin, Lumut yang dipenuhi sampah-sarap.

LUMUT – Jumlah sampah yang dipungut di pantai Teluk Se­nangin, Segari dekat sini, mening­kat dua kali ganda sejak aktiviti rentas negeri dan riadah dibenarkan bermula 11 Oktober lalu terutama pada cuti perayaan dan hujung minggu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, dianggarkan kira-kira 250 kilogram (kg) sampah dikutip di pantai itu semasa cuti perayaan dan dua hari cuti hujung minggu.

“Keadaan ini berlaku kerana berlaku pertambahan pengunjung walaupun kita melakukan pembersihan di pantai itu setiap hari,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau diminta mengulas gambar sampah sarap di sekitar pantai tersebut yang tular dalam media sosial sejak Isnin lalu.

Menurut Syamsul Hazeman, gambar yang tular itu diambil ketika cuti panjang empat hari pada 4 hingga 7 November lalu iaitu sempena Deepavali, keputeraan Sultan Perak dan cuti hujung minggu serta dirakam sebelum kontraktor melakukan kerja-kerja pembersihan.

Jelasnya, pertambahan pe­ngunjung di pantai itu termasuk ada yang melakukan aktiviti perkhemahan pada waktu malam antara faktor menyebabkan longgokan sampah yang banyak.

Selain itu, katanya, sikap tidak bertanggungjawab segelintir pengunjung membuang sampah merata-rata termasuk tindakan monyet menyelongkar sampah menyebabkan kawasan pantai itu tidak terurus dan kotor.

“Jumlah tong sampah yang disediakan mencukupi, malah ada tong sampah yang tidak penuh malangnya ada segelintir pengunjung tidak membuang sampah dengan betul sebaliknya hanya meninggalkannya di tepi tong itu.

“Tindakan monyet menyelongkar sampah juga menyebabkan ia bertaburan dan haiwan itu hanya muncul sejak pantai itu kembali dikunjungi ramai selepas mendapati banyak sisa makanan ditinggalkan pengunjung,” jelasnya,.

Sehubungan itu, Syamsul Hazeman menegaskan, pihak­nya akan mengambil tindakan penguatkuasaan jika masih ada pengunjung membuang sampah merata-rata dan tidak di tempat sepatutnya.

“Pengunjung perlu bijak dan bersikap bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan di pantai tersebut dan kami akan melakukan pemantauan dengan menambah bilangan anggota dan tugas rondaan terutama pada waktu puncak,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI