KOTA BHARU – Jabatan Perikanan Negeri Kelantan mengesahkan bahawa semua spesis kerang di perairan Sungai Geting, Tumpat adalah selamat untuk dimakan.
Pengarahnya, Nazri Ishak berkata, keputusan analisis makmal yang terkini menunjukkan bahawa kandungan alga berbahaya iaitu Alexandrium sp yang terdapat pada tiram, lokan, kepah, lala dan lain-lain berada pada tahap piawaian selamat.
Menurutnya, keputusan itu diperoleh hasil pemantauan Jabatan Perikanan Negeri Kelantan melalui keputusan analisis makmal biosekuriti perikanan.
“Sehubungan dengan itu, notis larangan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Negeri Kelantan pada 11 Oktober lalu telah terbatal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, Jabatan Perikanan Negeri Kelantan menggesa semua aktiviti memungut, menjual dan memakan kerang dari Sungai Geting di sini dihentikan serta-merta selepas spesies itu didapati tercemar akibat ledakan alga merah di kawasan berkenaan.
Nazri berkata, notis larangan telah dikeluarkan selepas ujian yang dilakukan ke atas kerang-kerang di lokasi itu disahkan tercemar.
Menurutnya, hasil ujian mendapati spesis kerang di Sungai Geting telah dicemari dengan toksin saraf (Saxitoxin) daripada alga berbahaya iaitu Alexandrium Minitum.
Ujarnya, Jabatan Perikanan telah mengambil sampel kerang pada 4 Oktober dan hasil ujian beberapa hari kemudian mendapati ia tercemar.
Habis