ALOR SETAR – Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa beliau mempunyai hak untuk bercakap mengenai bola sepak dengan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Besar Kedah menegaskan, beliau dan Tunku Ismail adalah sama rata ketika berada di ‘padang bola’.
“Saya Presiden KFA, dia (Tunku Ismail) pemilik kelab JDT, saya ada hak (bercakap). Saya bukan bercakap dengan anak raja, saya cakap dengan pemilik kelab JDT, jangan kata saya derhaka pulak.
“Main bola apa kira derhaka tak derhaka. Kalau tidak nak score (jaring) gol kena angkat sembah dulu. Main bola cara bola lah, jangan dok ambil hati pulak, jangan dok heret bola masuk istana,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar secara dalam talian selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Persidangan DUN tersebut bermula pada Ahad lalu dan berakhir pada hari ini.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, beliau berharap KDA FC dapat menewaskan JDT pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Johor malam ini.- K! ONLINE.