JOHOR BAHRU – Projek Landskap Sungai Segget serta kerja naik taraf Jalan Wong Ah Fook di pusat bandar raya Johor Bahru di sini bakal memberi nafas baharu kepada kesejahteraan bandar raya terbabit khususnya dalam sektor ekonomi.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, projek itu kini sudah berada pada kadar hampir 90 peratus dan dijangka siap menjelang Januari tahun depan.
Jelasnya, apabila siap kelak ia akan melonjakkan status Johor Bahru setaraf dengan bandar raya antarabangsa dunia selari dengan hasrat IRDA untuk meremajakan bandar raya itu.
“Projek ini mempunyai beberapa tujuan iaitu pertama adalah pembersihan Sungai Segget itu sendiri daripada sungai kategori 5 sekarang sungai kategori 2 B.
“Kedua, ia usaha kami untuk membuat tebatan banjir yang mana kini telah berjaya menghalang kejadian banjir kilat di pusat bandar raya ini sekiranya hujan lebat turun selama beberapa jam.
“Kemudian barulah datang usaha kita untuk mencantik dan meremajakan bandar raya Johor Bahru,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara IRDA dengan Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Kampus Pasir Gudang, di sini hari ini.
Tambah Ismail, pihaknya percaya inisiatif berkenaan akan dapat menarik lebih ramai pengunjung termasuk pelancong sekaligus meningkatkan nilai sektor ekonomi setempat melalui pelbagai aktiviti komersil dan keusahawanan. – K! ONLINE