KLANG – Polis sedang mengesan dua remaja perempuan yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah masing-masing di sekitar daerah ini, baru-baru ini.
Kedua-dua remaja itu dikenali sebagai Siti Noor Hidayah Muhamad Dzulkefli, 15, dan Mimie Adzveen Anthasya Muhamad Mustaffa, 17.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, kes pertama melibatkan Siti Noor Hidayah yang hilang sejak Isnin lalu dengan alamat terakhir di Jalan Pekan Baru Off Jalan Meru, Klang.
Katanya, sewaktu keluar dari rumah didapati Noor Hidayah tidak memakai tudung, sementara, Mimie Adzveen pula masih dilaporkan hilang sejak 3 November lalu dengan kali terakhir dilihat bertudung memakai baju belang hitam putih dan berseluar jeans biru.
“Alamat terakhir remaja itu adalah di Lorong Budaya Kampung Rantau Panjang, Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai dua remaja itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nor Atikah Muhidin di talian 018-7792949 dan Inspektor Wildan Mohd. Yusoff (017-6794488) atau balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut. -K!ONLINE