fbpx

Penjawat awam Johor dapat RM1,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hasni ketika memasuki Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri untuk membentangkan Belanjawan Johor 2022 hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Kakitangan kerajaan negeri dan kakitangan awam Persekutuan yang dibayar gaji oleh Kerajaan Johor akan menerima bantuan khas kewangan sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad mengumumkan pemberian itu ketika membentangkan Bajet Johor 2022 pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

Jelas beliau, bantuan khas berkenaan juga akan dipanjangkan kepada semua guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA), petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan guru Tadika Islam Johor (TAJ).

“Kerajaan negeri tidak melupakan jasa dan khidmat penjawat awam yang telah menjayakan agenda pembangunan dan kebajikan negeri yang menjadi tulang belakang kepada kelancaran pentadbiran.

“Bantuan khas kewangan ini akan dibayar sebelum akhir tahun 2021,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut.

Sementara itu, Hasni berkata, sebanyak RM90 juta akan digunakan bagi meneruskan program bantuan Kasih Johor dengan menambah bilangan penerima daripada 300,000 kepada 450,000 yang terdiri daripada golongan B40.

Malah, pemberian wang tunai secara one-off kepada setiap pelajar sekolah rendah dan menengah dari keluarga yang berpendapatan RM3,001 hingga RM 7,000 akan diteruskan pada tahun hadapan.

“Inisiatif ini adalah bagi melengkapkan bantuan awal persekolahan yang diberi oleh kerajaan
Persekutuan bagi golongan berpendapatan di bawah RM3,000. Sejumlah RM33 juta akan diperuntukkan dan memanfaatkan 220,000 pelajar.

“Bagi golongan asnaf, sebanyak RM500,000 akan diperuntukkan untuk kebajikan sosial dan institusi untuk memanfaatkan anak-anak yatim, warga tua yang tidak berwaris, persatuan
orang kurang upaya dan lain-lain,” katanya.

Tambah Hasni, kerajaan negeri juga akan meneruskan pemberian peruntukan khas sebanyak RM5 juta kepada Yayasan Sultanah Rogayah dan RM7 juta kepada Yayasan Sultanah Fatimah.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI