PETALING JAYA – Selepas 38 tahun menanti, Melaka United akhirnya melayakkan diri ke separuh akhir Piala Malaysia selepas melakar kemenangan 2-1 ke atas Sabah di Stadium Hang Jebat sebentar tadi.
Menerusi kemenangan itu, skuad Sang Kancil memastikan mereka melangkah ke pentas separuh akhir dengan agregat 3-1 apabila turut menewaskan Sabah 1-0 pada pertemuan di Stadium Likas, Kota Kinabalu sebelum ini.
Skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu sepatutnya mampu untuk melakar kemenangan lebih besar pada perlawanan tersebut kerana mencipta banyak peluang menjaringkan gol, namun gagal dimanfaatkan sebaiknya.
Bagaimanapun, dua gol yang diperoleh menerusi pemain import, Adriano dan Sony Norde sudah cukup bagi memastikan Melaka menamatkan penantian untuk mara ke separuh akhir buat kali pertama sejak 1983.
Sementara itu, Sabah memperoleh gol saguhati menerusi jaringan yang dilakukan Risto Mitrevski selepas dia menyempurnakan sepakan penalti pada penghujung perlawanan.
Melaka jelas merupakan pasukan yang berhak untuk melangkah ke pentas separuh akhir selepas mendominasi sepenuhnya perlawanan tersebut menerusi gerakan-gerakan berbahaya yang dilakukan.
Menanti Melaka di separuh akhir nanti adalah juara tiga kali Piala Malaysia, Kuala Lumpur City yang mara selepas menewaskan Selangor menerusi keputusan agregat 3-0.
Melaka dan Kuala Lumpur akan membuat perhitungan pada separuh akhir pertama yang dijadualkan berlangsung Isnin ini sebelum mengharungi aksi timbal balik 26 November depan.-K! ONLINE