KLANG – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) komited untuk memastikan bekalan ayam sentiasa mencukupi sepanjang musim tengkujuh yang dijadualkan bermula bulan depan.
Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, kementerian sentiasa memastikan sumber bekalan makanan berkualiti dapat dibekalkan untuk semua Keluarga Malaysia.
“Ini terutama dalam keadaan sekarang dengan situasi semasa yang kita tengok harga makanan mengalami kenaikan disebabkan kenaikan harga makanan ternakan, baja dan racun.
“Sehubungan dengan itu kita sentiasa mengadakan ‘engagement’ dengan pihak industri untuk memastikan penyediaan (bekalan) makanan sentiasa ada dan tidak putus,” katanya kepada pemberita selepas Program MAFI Prihatin dan Walkabout Program Pertanian Bandar Kebuniti di Pangsapuri Sri Ayu Bandar Putera Klang hari ini.
Beliau menjelaskan, perbincangan telah diadakan bersama pegawai-pegawai MAFI
bagi memastikan beberapa langkah penyelesaian dapat disyorkan kepada pihak kerajaan untuk memastikan bekalan makanan sentiasa cukup.-K!ONLINE