Oleh NOR AZIAH MAT NOH
KUALA LUMPUR- Taktik licik seorang warga tempatan menggunakan kilang keluarganya sebagai sarang dadah terbongkar apabila diserbu oleh Polis Kuala Lumpur di sini Selasa lalu menerusi Ops Kingfisher.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, lelaki tempatan berumur 36 tahun itu turut menjadikan kilang terbabit sebagai stor menyimpan dadah sebelum diedarkan kepada pelanggan.
“Sebanyak 20.66 kilogram (kg) dadah jenis ketamin, 7.4 kg dadah jenis metaphetamin, 3.30 kg dadah jenis ecstasy bernilai RM1.52 juta termasuk wang tunai berjumlah RM200,000 berjaya dirampas dalam serbuan itu,” katanya pada sidang akhbar di pusat media Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, menerusi Ops Lizard yang bermula 15 November lalu, pihaknya telah menahan tiga suspek dipercayai ahli sindiket pengedaran.
“Sebanyak 22.5 kg ganja, 2,800 pil disyaki Erimin 5 serta barang kes dijumpai sebuah kenderaan ketika serbuan dijalankan di kawasan tempat letak kereta berhampiran Kampung Baru.
“Ketiga-tiga suspek merupakan warga tempatan lingkungan 30-an dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” ujarnya.
Jelasnya, ketiga-tiga ahli sindiket tersebut menggunakan kereta sebagai modus operandi untuk menyimpan dan menghantar dadah secara terus kepada pelanggan bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Kesemua suspek telah ditahan reman selama tujuh hari dan akan disiasat di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 dimana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati,” katanya. – K! ONLINE