PUTRAJAYA – Kerajaan tidak menolak kemungkinan kos haji pada musim 1443H/2022M akan naik susulan peningkatan kos yang turut dialami untuk pelaksanaan ibadah umrah ketika ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad bagaimanapun berkata, keputusan muktamad mengenai perkara tersebut hanya akan ditentukan oleh jemaah Kabinet.
“Kita masih lagi menunggu laporan akhir daripada pihak Tabung Haji, tetapi kalau kos umrah pun sudah bertambah lebih RM2,000, mungkin akan beri kesan kepada kos haji pula,” katanya ketika hadir menyaksikan penyerahan derma oleh Kedutaan China di Malaysia kepada Jawi Food Bank yang dikendalikan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Akhir Mac lalu, Tabung Haji pada sidang akhbar khas mengumumkan peningkatan sembilan peratus untuk kos haji bagi musim 1442H/2021M kepada sekurang-kurangnya RM25,000.
Ketika ini bayaran yang perlu ditanggung bakal jemaah haji negara untuk pakej muassasah adalah RM9,980 sejak 2009, manakala baki selebihnya ditanggung subsidi oleh Tabung Haji.
Bagaimanapun, Malaysia tidak pula menghantar seramai 31,600 bakal jemaah untuk dua tahun berturut-turut sejak musim 1441H/2020M lalu susulan isu kebimbangan wabak Covid-19. – K! ONLINE