KUALA LUMPUR – Pasukan Kuala Lumpur City (KL City) mengesahkan status selaku ‘gergasi’ baharu Lembah Klang selepas menyingkirkan Selangor FC untuk mara ke pentas separuh akhir Piala Malaysia musim ini.
Skuad Warga Kota kendalian Bojan Hodak mempamerkan rentak konsisten untuk melakar kemenangan 1-0 pada aksi suku akhir kedua malam tadi sekali gus meraih keputusan 3-0 secara agregat.
Pada aksi di Stadium Kuala Lumpur, Cheras itu, pasukan tuan rumah terpaksa mempamerkan corak permainan bertahan dengan hanya melakukan serangan balas pantas selepas skuad pelawat melakukan penguasaan bola pada awal saingan.
Namun, kepakaran skuad Gergasi Merah dalam melakukan hantaran pendek nampak sia-sia selepas gagal mempamerkan ancaman yang diharapkan ke kubu KL City meskipun jentera serangan diketuai oleh penyerang kontroversi, Ifedayo Olusegun.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan tetapi rembatan yang dilakukan sedikit tersasar.
Bersambung pada babak kedua, skuad KL City dilihat lebih bermaya dan berjaya meledak gol awal hasil ledakan pemain import sensasi, Romel Morales pada minit ke-51 selepas menyudahkan hantaran Paulo Josue.
Jaringan tersebut ternyata menaikkan semangat pasukan tuan rumah untuk mengekalkan formula serangan balas pantas ketika skuad kendalian Karsten Neitzel itu kehilangan bola.
Peluang terbaik buat KL City menambah gol hadir menerusi rembatan Fakrul Aiman Sidid menerusi peluang satu lawan satu pada penghujung perlawanan tetapi berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Selangor FC, Khairulazhan Khalid.
Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus membawa KL City ke pentas separuh akhir bertemu Melaka United yang dijadualkan berlangsung minggu depan. – K! ONLINE