Oleh MOHD. FITRIE MUHAMAD
TIADA istilah seri dalam kamus jurulatih Kuala Lumpur City, Bojan Hodak untuk menghabiskan baki 90 minit aksi kedua suku akhir Piala Malaysia menentang Selangor FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini.
Walaupun sudah memiliki kelebihan hasil kemenangan 2-0 pada aksi pertama, Hodak tetap merasakan ia bukan jaminan untuk anak buahnya berasa selesa dan terbuai dengan impian ke separuh akhir.
Sekali pun sedar Selangor bakal turun habis-habisan, Hodak mengakui bermain secara bertahan bukanlah strategi pilihan sebaliknya mahu anak-anak buahnya terus merobek gawang lawannya itu.
“Kami perlu mencuba untuk memenangi perlawanan ini walaupun di atas kertas kami sudah mempunyai kelebihan,” katanya.
Apa yang pasti, tugas berat menanti Selangor untuk mengubah keputusan perlawanan pertama ketika KL City juga cukup kebal di gelanggang sendiri dengan merekodkan 19 perlawanan tanpa kalah di laman sendiri.
Menjelaskan rahsia prestasi cemerlang KL City musim ini, Hodak menegaskan kebersamaan antara pemain menjadi kunci sebenar dan tidak terlalu bergantung hanya kepada individu sahaja.
“Saya tidak suka untuk senaraikan mana-mana pemain tetapi bagusnya pasukan ini adalah kami tiada pemain bintang. Separuh musim, Paulo Josue yang jaringkan gol dan kini Romel Morales pula.
“Paling penting buat kami adalah semua pemain yang diturunkan mampu beraksi baik, bekerja keras dan bersaing sesama sendiri,” katanya.