ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor membentangkan Bajet 2022 dengan defisit kali kedua sebanyak RM286.47 juta selepas merekodkan belanjawan lebihan selama 10 tahun berturut-turut pada sebelum ini.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, unjuran hasil negeri pada tahun depan adalah sebanyak RM1.67 bilion manakala unjuran perbelanjaan berjumlah RM1.95 bilion.
“Bertemakan Memperhebat Kesejahteraan Johor, kerajaan negeri memperuntukkan perbelanjaan mengurus sebanyak RM1.087 bilion sementara RM870 juta diperuntukkan untuk pembelanjaan pembangunan, yang bakal digunakan bagi melaksana empat impetus dan 12 agenda utama dalam belanjawan tersebut.
“Walaubagaimanapun anggaran hasil dan defisit kami tertakluk kepada tahap ketidakpastian yang tinggi dipengaruhi beberapa faktor antaranya seperti kemunculan varian Covid-19 yang tinggi, impak sosial yang tinggi dan pembukaan sempadan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan bajet tersebut pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.
Menyentuh mengenai prestasi pelaksanaan Bajet Johor 2021, Hasni berkata, sebanyak 141 inisiatif dengan peruntukan keseluruhan RM850 juta telah mencapai 85.1 peratus pelaksanaan setakat suku ketiga tahun ini.
Hasni berkata, selepas mengalami penguncupan 4.6 peratus pada 2020, ekonomi Johor diunjurkan berkembang sekitar 3.5 sehingga 4.1 peratus pada tahun ini dan dijangka terus mengalami pertumbuhan pada tahap pra-krisis pada separuh tahun hadapan.-K! ONLINE