SEBERANG PERAI – Hajat seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk mengikuti kursus penerbangan berkecai apabila dia maut selepas pesawat tempur jenis Hawk 108 yang dikendalikannya terhempas di Pangkalan Udara Butterworth di sini kelmarin.
Kejadian pada pukul 10.07 malam itu mengorbankan Kapten Mohamad Affendi Bustamy, 31, manakala rakan setugasnya, Mejar Mohd. Fareez Omar, 33, cedera dan dilaporkan stabil selepas dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini.
Difahamkan, pesawat yang dikendalikan Mohamad Affendi itu terhempas di atas kawasan padang bersebelahan landasan pada ketinggian rendah dipercayai ketika cuba melakukan pendaratan cemas.
TUDM dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya telah menubuhkan Lembaga Siasatan Terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar nahas itu.
Mohamad Affendi merupakan juruterbang operasi dari No. 6 Skuadron telah menerima Anugerah Green Endorsement sebagai pengiktirafan kerana berjaya melakukan tindakan serta-merta dan membolehkan pesawat berhenti dengan selamat tanpa kemudaratan baru-baru ini.
Mohd. Fareez pula merupakan Ketua Flait Penerbangan di No. 15 Skuadron.
Sementara itu, rakan Allahyarham yang dikenali sebagai Aman Nazman memberitahu, Mohamad Affendi pernah memuat naik beberapa hantaran motivasi di laman Facebook miliknya sebelum terlibat dengan nahas yang meragut nyawanya itu.
Katanya, pada 25 Jun lalu, Allahyarham menukilkan kata-kata ‘tiada yang sempurna, ini dunia bukan syurga’ seolah-olah memberi petanda yang dia akan pergi buat selama-lamanya.
Berita berkaitan: Meraung sekali pun arwah sudah tiada – ibu Mohamad Affendi
Berita berkaitan: [Kemaskini] Seorang terbunuh, pesawat Hawk 108 TUDM terhempas
Selain itu, arwah turut menulis ‘bintangku tinggi di atas’, ‘jangan tertipu dengan usia muda kerana syarat untuk mati tidaklah harus tua’, ‘hidup berakal mati tak berhantu’ dan ‘hilang pandangan dalam mata’.
“Pemergian pula ketika dalam melaksanakan tugas penerbangan malam, sungguh cemburu. Terkejut dengan berita ini.
“Banyak kenangan terimbau sejak sama-sama melapor diri di Pangkalan Udara Butterworth,” kata Aman Nazman.
Tambahnya, dia mendoakan roh Mohamad Affendi dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Dalam pada itu, adik Allahyarham yang dikenali sebagai Nur berkata, abangnya datang ke sini dari Labuan, Sabah untuk mengikuti kursus penerbangan.
Katanya, dia dan isteri arwah abangnya iaitu Nur ‘Izati Shari, 30, bergegas ke Pulau Pinang sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu.
“Kakak ketika itu sedang bercuti di Kelantan dan kami terus bergegas ke sini untuk membuat pengecaman mayat selepas dimaklumkan mengenai nahas. Kami reda dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di HSJ semalam.
Tambahnya, arwah merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan sangat baik serta bertanggungjawab.
Nur ‘Izati pula hanya menundukkan muka dan tidak banyak bercakap kerana masih terkejut dengan berita yang menimpa suaminya itu.
Sementara itu, bapa Mohd. Fareez, Mejar (B) Omar Deros, 62, bersyukur kerana anaknya selamat, namun pada masa sama sedih dengan pemergian Mohamad Affendi.
“Anak saya masih dalam pemantauan serta pengawasan pihak hospital,” katanya yang bergegas datang dari Selangor.
Jenazah Mohamad Affendi kemudian dibawa ke kampung halamannya di Muadzam Shah, Pahang untuk disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Muadzam Shah.