Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora mengakui kelebihan berpihak kepada skuad kendaliannya yang akan bermain di laman sendiri menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia malam ini.
Mora berkata, para pemainnya tidak mempunyai pilihan kecuali memanfaatkan kelebihan tersebut selepas mereka terikat tanpa jaringan ketika aksi suku akhir pertama di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Ahad lalu.
Pengendali kelahiran Mexico itu berkata, beliau enggan anak-anak buahnya mengulangi kesilapan dalam perlawanan pertama setelah gagal mencipta jaringan biarpun mempunyai peluang meledak gol.
“Beraksi di gelanggang sendiri memberi kami kelebihan buat pasukan terutama ketika keyakinan pemain berada di tahap yang cukup tinggi. Sudah tentu, kami akan bermain bermati-matian untuk mencari gol awal,” katanya.
Dalam aksi pertama suku akhir yang lalu, Mora berkata, skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak menggunakan taktik bertahan dengan meletakkan enam pemain untuk mengekang gawang mereka daripada dibolosi.
Jelasnya, keadaan itu menyebabkan JDT mengalami kesukaran untuk menembusi barisan pertahanan biarpun sudah mencuba pelbagai cara dan formasi.
“Kami cuba sedaya upaya untuk menjaringkan gol, namun peluang yang ada gagal diterjemahkan. Ini adalah keputusan yang mereka cari dan ia adil buat kedua-dua pasukan.
“Namun, kami perlu berhati-hati bagi aksi kedua ini apabila mereka cuba mencari kelebihan jaringan di tempat lawan. Jadi, kami tidak boleh memberi ruang kepada mereka untuk berbuat demikian serta perlu kekal fokus sepanjang aksi.
“Ia akan menjadi pertembungan menarik dan berpeluang untuk bermain secara terbuka. JDT dan Kedah perlu menjaringkan gol di sini untuk mara ke separuh akhir,” katanya.