KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ke-13 memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau dan ahli-ahli lembaga pengarah lain 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah ‘digunakan’ untuk menampakkan setiap transaksi yang dibuat oleh syarikat pelaburan dibuat secara sah.
Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail berkata tanpa menjelaskan ‘digunakan’ oleh siapa, beliau menyatakan, mereka (ahli lembaga pengarah) tidak boleh berkata tidak atau membantah sebarang cadangan atau arahan yang diterima.
“Saya fikir kalau kami, lembaga pengarah berkata `tidak’, kami perlu meletakkan jawatan kami sebagai ahli lembaga pengarah. Selepas melalui segalanya (daripada siasatan sehingga sekarang), saya beranggapan lembaga pengarah digunakan bagi memperlihatkan segala transaksi dan inisiatif kelihatan sah sehingga maklumat yang mengelirukan atau tiada maklumat termasuk menyembunyikan maklumat daripada lembaga pengarah,”kata saksi itu.
Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan tandatangan Datuk Seri Tun Najib Tun Razak yang menandatangani Final Decisions ini sebagai CBOA 1MDB dengan menyertakan nota `YBhg Tan Sri Ismee, noted the contents with no objection’ (Yang Berbahagia Tan Sri Ismee, ambil maklum kandungan tanpa bantahan).
“Mudah difahami daripada nota ini, Najib sendiri mengarahkan saya sebagai pengerusi 1MDB Energy Group dan kami BOD (lembaga pengarah) 1MDB untuk melaksanakan pelan yang telah diaturkan ini,”katanya.
Selain itu, Ismee memberitahu, beliau meletakkan jawatan di 1MDB kerana tidak mahu lagi terlibat dalam mana-mana keputusan yang akan dibuat syarikat terbabit dalam masa hadapan.
Bagaimanapun, peletakan jawatannya itu tidak diterima dan sebaliknya bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin memintanya untuk pada ketika itu terdapat cadangan untuk menukar keseluruhan ahli lembaga pengarah.
Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Najib, 68, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 billion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram pada jumlah wang yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 13 Disember ini. – K! ONLINE