fbpx

Darling, Anne Ngasri terkejut digelar awet muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANNE dan Darling mengulas tentang gambar keluarganya menjadi tular dalam media sosial.

PETALING JAYA – Pelakon Datin Anne dan Darling Ngasri tidak menyangka gambar bersama adik-beradiknya yang dirakam pada pertemuan keluarga baru-baru ini menjadi viral.

Malah, rata-rata netizen berasa kagum dengan mereka adik-beradik yang tidak dimamah usia atau awet muda sedangkan usia masing-masing sudah menjangkau angka 30-an dan 40-an.

Darling atau nama sebenarnya, Nasreen Ngasri yang kini sudah berusia 38 tahun dan memiliki seorang anak lelaki, Nur Nashrullah, 10, nyata terkejut dengan reaksi yang diterima daripada netizen terutama soal awet muda.

“Saya sendiri terkejut apabila mendapat tahu gambar tersebut viral. Sebenarnya memang kami jarang mengambil gambar berempat, tetapi tidak sangka menerima reaksi sedemikian.

“Sejujurnya saya tidak rasa muda sebaliknya semakin tua, sekarang jika hendak berlakon pun perlu lihat watak yang sesuai. Saya sudah berusia 38 tahun, Anne, 37, Bell, 41, dan Boy, 47.

“Lagi membuatkan saya berasa lucu, kami semua sudah menjadi nenek dan datuk kerana anak sulung Boy pun sudah dapat anak,” jelas Darling sembil ketawa.

Sementara itu, Anne yang ditemui di set penggambaran drama Alamak Lagi Lagi Dia di Wins Boulangerie, Kuala Lumpur semalam turut terkejut dengan gambar viral tersebut.

Menurut Anne atau nama sebenarnya, Naszriah Ngasri, sebagai ibu kepada enam orang anak termasuk seorang anak tiri, dia tidak pernah berasakan dirinya muda walaupun secara fizikalnya tidak begitu banyak berubah.

“Tidak ada petua awet muda sebab saya sendiri sudah rasa tua. Walaupun memiliki anak yang ramai, mungkin saya jenis periang dan tidak terlalu banyak berfikir perkara negatif menyebabkan orang rasa saya muda,” ujar Anne.

Tambah isteri kepada Datuk Sumali Reduan itu, dia berasa cukup terharu melihat komen positif daripada netizen dan tidak menyangka masih memiliki peminat yang ramai.

Hal ini kerana, selain abangnya Bell Ngasri, 41, yang masih aktif dalam lakonan, Anne sudah jarang muncul di kaca televisyen kerana komitmen terhadap keluarga, manakala Darling pula sibuk sebagai penerbit.

“Jika ikutkan memang Bell yang lebih dikenali pada hari ini kerana dia sahaja yang masih aktif berlakon. Justeru, saya tidak sangka peminat masih ingat drama lakonan saya dan meluahkan rasa rindu mereka untuk melihat saya kembali berlakon.

“Ada yang kata rindu dengan drama Dunia Baru dan Cili Padi, tetapi sekarang saya sudah menjadi cili boh (ketawa). Sebenarnya, dua drama itu memang meninggalkan kesan buat saya,” kata Anne.

Sambung Anne, seperti mana peminat yang membesar bersama drama Dunia Baru, dia juga mengakui berasa begitu dekat dengan karya arahan M. Hitler Zami itu.

“Walaupun drama Dunia Baru mula diterbitkan pada 2006, semua barisan pelakon masih rapat sehingga hari ini. Malah, kami mempunyai ‘group WhatsApp’dan merekalah antara rakan artis yang rapat dengan saya.

“Mungkin sebab watak-watak dalam drama tersebut adalah kami yang sebenar. Watak Madihah adalah saya, sampai hari ini jika rakan-rakan lain mempunyai masalah, saya akan menjadi orang tengah membantu selesaikan masalah atau tolong kecohkan lagi (ketawa).

“Apapun terima kasih kepada peminat kerana masih mengingati kami adik-beradik. Komen-komen positif mereka menjadikan kami semua lebih bersemangat dan berasa sangat dihargai,” tutur Anne yang merupakan anak kelima daripada enam beradik.

Selain Bell, Darling dan Anne, seorang lagi abang mereka, Naszeli Ngasri atau lebih dikenali sebagai Boy juga seorang pelakon sekitar 1980-an dan 1990-an. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI