AMSTERDAM – Belanda mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Dunia 2022 selepas muncul juara Kumpulan G apabila menewaskan Norway 2-0 pada aksi di Arena Johan Cruyff awal pagi semalam.
Kejayaan itu menyaksikan Belanda kembali menebus kekecewaan selepas mereka gagal lolos pada aksi Piala Dunia 2018 lalu di Rusia biarpun berdepan ujian getir apabila dikejutkan dengan kebangkitan Montenegro yang bangkit mengikat mereka 2-2 pada aksi sebelum ini.
Dua gol jaringan Steven Bergwijn dan Memphis Depay menyaksikan Belanda meraih 23 mata daripada 10 perlawanan dengan dua mata mengatasi pasukan di tempat kedua, Turki yang turut mencatat kemenangan mengatasi Montenegro dalam satu lagi aksi.
Bagaimanapun, Belanda terpaksa menunggu sehingga minit ke-84 untuk meraih gol pertama menerusi Bergwijn sebelum Depay mengukuhkan kedudukan menerusi gol kedua pada masa kecederaan.
Belanda kini berada pada prestasi terbaik apabila mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tujuh perlawanan selain mencatat lima kemenangan sejak saingan Euro 2020 dan perkembangan itu nyata menggembirakan pengendalinya, Louis Van Gaal.
“Semangat kami sedikit menurun selepas seri menentang Montenegro sebelum ini dan saya sebenarnya bimbang situasi itu mempengaruhi mentaliti pemain untuk menghadapi perlawanan kali ini.
“Bagaimanapun, ia adalah minggu yang cukup hebat buat kami semua. Kami dapat mengenali antara satu sama lain terutama ketika pasukan melalui fasa turun dan naik.
“Kami menjaringkan dua gol hari ini dan mempertahankan gawang daripada dibolosi. Kami mendominasi hampir keseluruhan perlawanan ini dan memberikan Norway hanya sedikit sahaja peluang.
“Saya sangat teruja melihat aksi pada babak pertama yang dipamerkan pemain dan meminta mereka terus melakukan serangan pada babak kedua. Ia nyata berhasil apabila kami kemudiannya berjaya meraih dua gol untuk mencatat kemenangan pada aksi kali ini,” jelasnya. – AGENSI