LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mungkin kehilangan khidmat kaptennya, Pierre-Emerick Aubameyang untuk pertemuan getir menentang Liverpool pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Anfield awal pagi Ahad ini.
Ia selepas Aubameyang dikatakan mengalami kecederaan betis yang menyebabkan dia terlepas aksi bersama Gabon menentang Mesir untuk kelayakan Piala Dunia 2022 zon Afrika kelmarin.
Situasi semasa penyerang berusia 32 tahun itu tentunya memeningkan kepala Arteta yang kini berjaya mengemudi The Gunners mengharungi 10 perlawanan tanpa kalah berturut-turut dalam semua kejohanan sejak 28 Ogos lalu.
Ia juga bakal memberikan tamparan besar buat Arsenal kerana kemenangan ke atas Liverpool mampu membolehkan kelab dari Utara London itu memintas lawan tersebut untuk menghuni kelompok empat teratas EPL buat kali pertama setelah sekian lama.
Selain Aubameyang, Arteta juga masih mengharapkan tonggak bahagian tengah, Thomas Partey untuk pulih daripada kecederaan pangkal paha dan mencapai tahap kecergasan terbaik sebelum diturunkan menentang The Reds hujung minggu ini.
“Kita tunggu dan lihat sahaja keadaan Thomas (Partey). Dia alami sedikit masalah otot tetapi saya tidak pasti bagaimana, saya cuma boleh mengharapkan dia cergas untuk bertemu Liverpool,” kata Arteta.
Tanpa Aubameyang, Arsenal masih boleh mengharapkan sentuhan seorang lagi penyerang, Alexandre Lacazette untuk mengemudi jentera serangan menentang Liverpool yang turut dilanda krisis kecederaan ketika ini.
Sebagai rekod, skuad bimbingan Jurgen Klopp itu dikatakan hilang ramai pemain kerana kecederaan antaranya Sadio Mane, Jordan Henderson, Andy Robertson, Divock Origi, Curtis Jones, Roberto Firmino, Naby Keita, James Milner dan Joe Gomez. – AGENSI