BARU-BARU ini Kosmo! ada melaporkan mengenai kejadian mistik apabila penduduk kampung mendakwa wang mereka hilang kerana dicuri oleh toyol iaitu sejenis makhluk halus belaan manusia yang dikatakan begitu handal mencuri.
Berita tersebut mendapat banyak reaksi banyak pihak termasuk ada kalangan ‘bijak pandai’ yang mendakwa akhbar Kosmo! merosakkan pemikiran rakyat dengan memaparkan cerita-cerita tahyul, namun suka atau tidak itu adalah antara isu masyarakat yang realiti berlaku dan bukan direka-reka.
Kelmarin, Kosmo! sekali lagi mendedahkan bahawa kejadian kecurian misteri yang membelenggu penduduk tiga kampung di Kubang Kerian, Kelantan adalah melibatkan makhluk dikenali sebagai anak kerak iaitu memiliki ciri-ciri fizikal seakan toyol tetapi lebih licik dan garang.
Makhluk halus belaan salah seorang penduduk itu dikatakan menyebabkan pemiliknya hidup mewah apabila anak kerak belaan mampu ‘menarik duit’ penduduk kampung dengan begitu mudah dan sangat sukar dikesan.
Proses kerja-kerja mistik ini tentu sekali sukar untuk kita gambarkan.
Anggota polis pun sukar untuk menyiasat perkara-perkara yang tidak melibatkan aktiviti fizikal seperti kesan pecah masuk, alibi di tempat kejadian dan saksi yang relevan.
Penulis sendiri pun tertanya-tanya, jika begitu handal toyol atau anak kerak ini, mengapa tidak boleh mencuri duit berkepuk-kepuk di bank atau di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
Duit penoreh getah, pekebun dan penjaja kecil boleh pulak ‘ditarik-tarik’.
Nampak gayanya, tidak bijak mana toyol dan anak kerak ini. Duit orang kampung sahaja yang berani dicurinya. Duit penipu, scammer, pengubah wang haram, pengedar dadah tidak pula disentuhnya. Mungkin suatu hari nanti kita boleh ‘sekolahkan’ pemilik makhluk ini bagaimana cara mencuri duit para penjenayah di luar sana.
Kalau boleh toyol dan anak kerak ini juga dapat diarah ‘bekerja’ menarik semula duit-duit yang dikumpulkan secara haram oleh mereka yang terbabit salah guna kuasa dan makan rasuah.
Kita sedia maklum, pemakan rasuah ini baik dalam pasukan penguat kuasa mahupun mereka yang diberikan jawatan, amanah dan tanggungjawab dalam agensi tertentu teramat licik ‘menarik duit’ rakyat dalam pelbagai cara.
Mereka ini diberi kepercayaan menjaga keamanan, kesejahteraan serta membela nasib rakyat tetapi apabila disogok dengan wang ringgit, mereka lupa itu kerajaan kehilangan hasil yang akan digunakan semula untuk rakyat.
Akibat ketirisan yang berlaku baik di sempadan atau pintu masuk negara serta di pelbagai lokasi ‘panas’ lain, negara kehilangan berpuluh-puluh bilion setiap tahun.
Wang itu sepatutnya boleh diguna untuk memberi makan dan minum golongan miskin dan ubat-ubatan golongan menderita sakit di katil hospital.
Jika dibandingkan antara toyol, anak kerak dan perasuah. Rasanya perasuah inilah sebenarnya ‘ibu’ daripada segala toyol yang ada. Mereka lebih licik dan mampu ‘menarik duit’ rakyat untuk kepentingan diri sehingga mencecah juta-juta!