Oleh MOHD RIFAAT ABD HAMID
PENGENDALI Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak menaruh kepercayaan kepada anak-anak buahnya untuk turun memberi tentangan hebat ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.
Menurut Aidil Sharin, para pemain berada dalam ‘mood’ terbaik dan bersemangat untuk menampilkan aksi terbaik dalam perlawanan tersebut
Katanya, walaupun gagal membawa bekalan jaringan pada saingan itu, namun ia sama sekali tidak melunturkan semangat anak-anak buahnya.
“Keyakinan pemain semakin tinggi untuk bertarung dengan JDT selepas mereka dapat beraksi dengan baik pada 90 minit pertama walaupun tanpa dua tonggak import,” katanya.
Pada perlawanan suku akhir pertama yang berkesudahan seri 0-0, KDA FC hanya menurunkan dua pemain import iaitu Kpah Sherman dan Renan Alves untuk memperkuatkan pasukan, sementara tiga lagi pemain import iaitu Kipre Tchetche, Rabih Ataya dan K. Anumanthan tidak beraksi.
Ataya dan Anumanthan tidak dapat diturunkan kerana menyertai skuad kebangsaan masing-masing untuk aksi antarabangsa, manakala Tchetche masih belum pulih daripada masalah kecederaan
Katanya, kehadiran Tchetche pada perlawanan kali ini amat ditagih bagi membantu memantapkan lagi kekuatan jentera serangan Kedah.
“Peranan Kipre penting untuk digandingkan dengan Kpah di bahagian jentera serangan untuk memburu gol pada aksi kali ini,” ujarnya.