PETALING JAYA – Seramai 111 pembeli rumah Residensi PR1MA Tebrau memfailkan saman terhadap Perbadanan PR1MA Malaysia bagi tuntutan gantirugi liquidated ascertained damages (LAD).
Menurut wakil pembeli, Nor Syahila Abdul Khalid, 43, berkata, saman yang dikeluarkan melibatkan tuntutan gantirugi LAD sebanyak RM3,023,198.35 akibat kelewatan penyerahan milikan kosong projek perumahan tersebut.
“Tuntutan gantirugi LAD ini adalah untuk menuntut bayaran penuh LAD dengan mengambil kira tarikh penerimaan tawaran pembelian rumah Residensi PR1MA Tebrau yang sepatutnya siap pada tahun 2019 tetapi hanya dapat disiapkan pada tahun 15 April 2021.
“Keadaan rumah yang diberikan juga sangat tidak memuaskan hati pembeli disebabkan beberapa kerosakan yang masih dibiarkan sehingga kini sedangkan kunci rumah telah diserahkan dan pemilik boleh mula memasuki rumah,” katanya ketika ditemui di hadapan bangunan Perbadanan PR1MA Malaysia hari ini.
Tambah Nor Syahila, ada pembeli yang membuat aduan bahawa rumah mereka tidak dilengkapi dengan tingkap dan mempunyai kebocoran pada paip menyebabkan mereka turut bersama bersetuju untuk menfailkan saman tersebut.
Sementara itu, mahkamah telah menetapkan pengurusan kes akan diadakan pada 15 Disember 2021. – K! ONLINE