Oleh NOR AZIAH MAT NOH
KUALA LUMPUR – Penyampaian Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) tanpa istiadat terhadap pesara polis, bekas polis dan petugas polis era darurat dilaksanakan mengikut garis panduan sedia ada yang sah.
Sebelum ini tular di aplikasi WhatsApp paparan gambar PJPN tanpa istiadat semalam sehingga menimbulkan tanda tanya akan kesahihan majlis terbabit.
Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass berkata, peningkatan kes Covid-19 ketika itu tidak membenarkan sebarang majlis diadakan.
“PDRM telah mengeluarkan garis panduan sejajar dengan prosedur operasi standard (SOP) agar PJPN dilaksanakan tanpa istiadat.
“PDRM menyeru agar penerima tidak menjadikan hal ini sebagai isu kerana garis panduan PJPN tanpa istiadat pada 22 Julai lalu, membenarkan pegawai kanan polis yang lebih kanan pangkatnya daripada penerima untuk menyerahkan pingat dan sijil penghargaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, perkara itu tidak seharusnya disensasikan sehingga menimbulkan salah faham serta tanggapan negatif kepada umum demi menjaga kemuliaan pingat serta jasa penerima itu sendiri. – K! ONLINE