SUNGAI PETANI – Bapa mangsa bunuh Nor Fahizatul Syahira, 32, yang mayatnya ditemui reput di tepi Sungai Jebong, Kuala Sepetang, Taiping bulan lalu berharap jenazah anaknya dapat dikebumikan segera.
Menurut Sopa Wazi, 56, kejadian pembunuhan itu telah sebulan berlalu, namun pihak keluarga masih belum dapat membawa pulang jenazah anak sulungnya.
“Kita bersetuju dengan proses bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematiannya tetapi sehingga sekarang mayatnya belum dibenarkan dituntut.
“Kami ingin arwah dikebumikan segera kerana ia mampu menghilangkan tekanan yang ditanggung keluarga sebaik mengetahui dia dibunuh,” katanya di sini baru-baru ini.
Sopa yang merupakan pemandu teksi berharap agar suspek dikenakan hukuman setimpal sekiranya terbukti dia bersalah.
Dia tidak menyangka tindakannya membenarkan anaknya berjumpa dengan suspek pada 1 Oktober lalu di Taiping menyebabkan dia kehilangan zuriat.
“Anak saya teruja apabila ditawarkan pekerjaan oleh suspek dan selepas lima hari dia di sana, kami tidak dapat menghubunginya lagi.
“Saya hanya dimaklumkan mengenai penemuan mayatnya oleh anak pada 27 Oktober sebelum bergegas ke Hospital Taiping untuk membuat pengecaman,” jelasnya sedih.
Cerita Sopa, Nor Fahizatul Syahira merupakan ibu tunggal yang mempunyai dua orang anak berumur dua dan tujuh tahun. Dia telah bercerai dengan suaminya setahun lalu.
Tambahnya, arwah anaknya yang sebelum ini menjual kuih berkenalan dengan suspek melalui Facebook tidak sampai sebulan.
“Dia berharap dapat bekerja dan mengumpul wang untuk menyara dua anaknya yang kini dipelihara bekas suaminya.
“Walaupun reda dengan kematiannya kami sekeluarga berharap dapat mengebumikan jenazahnya segera, tambahan lagi selepas mendapati mayatnya ditemui dalam keadaan tidak sempurna,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang penganggur berhadapan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping atas tuduhan membunuh teman wanita yang mayatnya ditemui reput di tepi Sungai Jebong, Kuala Sepetang, bulan lalu.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Khairul Nizam Ibrahim, 34, didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Nor Fahizatul Syahira Sopa, 32, di sebuah bilik di Jalan Taman Mawar, Simpang pada pukul 2 petang, 4 Oktober lalu.