PASUKAN Selangor FC masih enggan mengibarkan ‘bendera putih’ dalam usaha menyalakan peluang lolos ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia menjelang aksi suku akhir kedua menentang Kuala Lumpur City (KL City) malam esok.
Sebagai rekod, skuad Gergasi Merah tempang selepas tewas mengejut 0-2 kepada pasukan bimbingan Bojan Hodak yang unggul meletakkan sebelah kaki ke peringkat separuh akhir pada Ahad lalu.
Ketua Jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel berkata, anak-anak buahnya perlu menerapkan semangat juang tinggi dan tampil yakin pada aksi kedua di Stadium Kuala Lumpur, Cheras nanti memandangkan masih ada 90 minit perlawanan yang perlu diharungi.
“Kami terpaksa terima kekalahan yang lepas, namun pada masa sama saya tidak mahu mereka terlalu meratapi atau kecewa dengan keputusan itu dan perlu terus pandang ke depan.
“Fokus seterusnya sudah tentu aksi suku akhir kedua Khamis ini (esok) yang mana saya akan memantau keadaan pemain mana yang cergas dan sebaliknya kerana mungkin akan ada rombakan dalam kesebelasan utama,” kata pengendali dari Jerman itu.
Mengulas lanjut, Neitzel turut menarik nafas lega apabila beberapa tonggak utama pasukan yang beraksi dalam skuad bawah 22 (B-22) kebangsaan sudah kembali melaporkan diri bersama pasukan pada Sabtu lepas.
Antara beberapa pemain Selangor yang bersama skuad B-22 untuk kelayakan Kejohanan Piala Asia B-23 di Mongolia bulan lalu seperti Mukhairi Ajmal, Harith Haikal Adam Afkar dan Ahmad Zikri Khalili.
“Kami kehilangan Mukhairi dan Zikri untuk tempoh yang lama termasuk Harith. Mereka telah kembali bersama pasukan selepas tamat kuarantin, tetapi saya belum putuskan sama ada mereka akan diturunkan atau tidak nanti,” katanya.