PERNIKAHAN pasangan selebriti terkenal Ria Ricis dan suaminya, Teuku Ryan pada 12 November lalu terus menjadi buah mulut bukan sahaja dalam kalangan netizen, bahkan juga rakan-rakan artis.
Difahamkan, Ria dan Teuku memberikan cenderamata untuk tetamu yang hadir ke majlis pernikahan mereka berupa logam emas seberat 0.025 gram untuk dibawa pulang.
Perkara tersebut didedahkan rakan artis yang juga pelakon, Gritte Agatha menerusi saluran YouTube miliknya.
“Selain dapat kelengkapan mandi, tetamu yang datang juga diberi hadiah emas seberat 0.025 gram. Terima kasih Ria,” ungkap Gritte.
Semasa akad nikah, Ria yang juga adik kepada pendakwah selebriti terkenal, Oki Setiana Dewi menerima mas kahwin berupa emas seberat 100 gram, wang hantaran 179.5 juta rupiah (RM52,613) dan kelengkapan solat.
Difahamkan, jumlah wang hantaran yang diterimanya sebagai simbolik tarikh lahir Ria iaitu pada 1 Julai 1995.