KLANG – Ekoran mahu mencuba menyebabkan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun terjerumus dalam penagihan dadah sebelum ditangkap bersama 27 individu dalam operasi di sekitar sebuah pangsapuri di Pelabuhan Klang, hari ini.
Dalam Operasi Selangor Mengawal Ancaman Realiti Dadah (SMARD) dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selama tujuh jam bermula 8 pagi menahan kesemua suspek berusia 16 hingga 52 tahun.
Remaja dikenali Zul (bukan nama sebenar) berkata, dia berhenti sekolah ketika tingkatan dua sebelum mencuba syabu setahun lalu untuk bersuka-suka dan pengaruh rakan.
Katanya, ini seterusnya membuatkannya sanggup mencari rakan-rakan yang mempunyai dadah itu.
“Mula-mula cuba-cuba sahaja dengan ‘menumpang’ barang daripada rakan-rakan sebelum terus ketagih.
“Kali terakhir saya menghisap syabu malam tadi dan dicekup bersama seorang rakan di rumahnya pagi tadi,” katanya ketika ditemui dalam operasi itu.
Turut hadir operasi itu Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Klang, Mohd. Shahrizal Mohd. Salleh dan Timbalan Pengarah Pengkuatkuasaan dan Keselamatan AADK Selangor, Mohd. Firdaus Abu Bakar. – K! ONLINE