PETALING JAYA – Kementerian Komunikasi dan Multimedia memaklumkan ketersediaan rangkaian 5G akan tercapai secara berperingkat bermula pada penghujung tahun ini ia iaitu pada Disember nanti.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, rangkaian tersebut akan dilakukan secara berperingkat dengan dimulakan di Putrajaya, Cyberjaya dan seterusnya di ibu kota Kuala Lumpur.
“Rangkaian 5G ini akan diperluaskan ke kawasan-kawasan lain bermula 2022. Kerja-kerja pemasangan juga telah dilakukan sejak September lalu.
“Kerajaan juga mensasarkan untuk melipatgandakan kadar penggunaan rangkaian 5G untuk mencapai kawasan 80 peratus berpenduduk dalam tempoh tiga tahun menjelang 2024,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Tambahnya lagi, jika dibandingkan sebelum ini,syarikat telekomunikasi mengambil masa selama hampir lapan tahun untuk mencapai liputan 80 peratus bagi penyediaan rangkaiaan 3G dan 4G.
“Kini kerajaan bertekat untuk hanya mengambil masa selama tiga tahun bagi capaian 80 peratus rangkaian 5G di seluruh negara,” jelasnya. – K! ONLINE